RSS

Cerminkan dirimu

Entri kali ini di ambil dari blog Ustazah Noraslina Jusin, http://ummuhusna99.blogspot.com/. Semoga kita memperoleh manfaat daripadanya.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>


Bila berdiri ketinggiannya sudah menyamai ketinggian saya. Baju-baju saya juga, sudah banyak yang muat dan tersarung elok ke tubuhnya. Banyak kali juga saya berjenaka :

“Tak lama lagi, Ummi makin ke ‘bawah’ la. Bila tengok kak long, mesti kena mendongak....”
Mendengar itu, dia pasti tersengih lantas tertawa. Malu-malu si anak dara.

Perhatiannya pada fesyen dan aksesori juga semakin ketara. Pernah sekali, saya melihatnya sedang memerhati penuh minat pada satu laman web menjual baju-baju terkini gadis remaja. Bola matanya bersinar, teruja. Senyumnya meleret, ceria. Tentu ada sehelai dua yang menarik perhatiannya.

Sebagai ibu, saya menyedari, Jika dibandingkan dengan anakanda kedua, kak ngah masih lagi gembira bermain dengan patung boneka.

Memang, anakanda saya yang pertama ini kian menginjak dewasa.

Terasa masa berlalu begitu pantas. Mengenang ini, jiwa sering berdebar. Cemas. Memikirkan terlalu banyak lagi pesan yang perlu dititipkankan, buat pedoman dan panduan anak meniti alam remaja yang mencabar.


MELIHAT CERMIN
“Kak long, kalau kak long tengok cermin, apa yang kak long nampak?” saya bertanya usai solat maghrib bersama. Kak ngah yang bersimpuh di sebelahnya sekadar memandang, tidak bersuara.

“Hmm..nampak muka kak longlah ummi..” kak long menjawab bersahaja. Saya mengangguk, mengiyakan jawapannya.

“Macam ni ye…muncungkan mulut, bulatkan mata, kembangkan hidung, belek pipi…ada jerawat ke tak…ye kan?” Saya menambah disambut ketawa anakanda berdua. Melihat itu, saya turut ketawa bersama.

“Pernah tak kak long, kak ngah ‘lihat’ lebih dari itu masa berada di depan cermin?” Saya meluahkan soalan seterusnya.

Kak long dan kak ngah mengerutkan dahi. Kurang mengerti, barangkali.

“Tengok lebih tu macam mana, Ummi ?” soal kak long. Kak ngah pula masih diam. Lagak termenung.

“ Maksud Ummi…bukan setakat melihat fizikal luaran, tetapi melihat ke dalam diri…setakat mana kak long dan kak ngah sedar akan kelebihan dan kekurangan diri sendiri.”Saya cuba menjelaskan.

Suasana sepi. Kak long dan kak ngah terus mendiamkan diri.

Saya akui tidak mudah untuk anak-anak seusia mereka memahami. Ini kerana sepasang mata kurniaan ILAHI ini hanya mampu melihat permukaan, sedangkan untuk ‘melihat’ sehingga ke bahagian ‘dalaman’ atau rohani, manusia memerlukan ‘mata hati’.

Namun, saya tidak mahu berputus asa. Terlintas di minda, sebuah hikayat dulukala.

“Ha..ummi ada satu cerita.” Luah saya gembira. Bebola mata kak long dan kak ngah juga menampakkan sinar ceria. Mereka segera menganggukkan kepala.

“Ok..ceritanya begini…..”


HIKAYAT BERMULA
Di dalam sebuah rimba, tinggal seekor kancil yang bijaksana. Suatu hari, sang kancil berjalan-jalan menikmati keindahan hutan. Sedang sang Kancil asyik dan leka, tiba-tiba terdengar ngauman yang amat kuat di belakangnya. Sang kancil menoleh. Rupa-rupanya, sang singa, si Raja Rimba, sedang bersedia untuk menerkam dan membahamnya.

Sang kancil cemas. Kakinya terketar-ketar. Namun, fikirannya tetap ligat berputar. Mencari akal untuk lepas dari dibaham sang singa yang lapar.

“Nanti dulu wahai raja rimba yang gagah perkasa. Sebelum aku kau jadikan hidangan tengaharimu, ingin kusampaikan satu pesan,” ujar sang kancil kurang bermaya.

“Pesan apa wahai sang kancil? Jangan fikir kau dapat melepaskan diri,” sergah sang singa sambil menunjukkan taring dan kukunya yang tajam bak taji.

Melihat itu, sang kancil bertambah gerun di hati. Namun, digagahkan juga dirinya untuk menyambung bicara.

“Sebenarnya, aku disuruh oleh seekor singa yang sama besar dan gagah sepertimu untuk menyampaikan pesan mahu bertarung dan beradu kekuatan,”sang kancil melaporkan.

“Apa? Mustahil ada singa lain yang menyamai kegagahanku, apatah lagi berani untuk menentangku di hutan ini!” bentak sang singa sebaik mendengar berita. Dia mengaum sekuat-kuatnya sehingga unggas-unggas yang sedang berehat di pepohonan, terbang bertempiran.

Marah sungguh nampaknya sang singa.

“Di mana kau temui singa yang berani menentangku itu. Tunjukkan aku sekarang juga!” tambah sang singa dengan luapan amarah yang membara.

“Singa itu sedang menunggumu di sebatang sungai di pinggir hutan ini. Di sana...” Tanpa lengah sang kancil menunjukkan arah.


PERTEMUAN
Sang singa berlari selaju mungkin menuju sungai yang dimaksudkan. Sebaik sampai ke tebing sungai yang jernih alirannya itu, sang singa terus menyeberangi jambatan kayu yang merintangi dari kedua-dua belah tebing. Matanya melilau liar sambil memusing-musingkan kepala, mencari-cari sang singa yang mahu menentangnya, sebagaimana diberitakan oleh sang kancil yang bijaksana.

Ketika inilah…

Saat sang singa melihat ke dalam air, ia melihat satu bayangan yang menyerupai dirinya. Menyangka bahawa bayangan itu adalah singa yang mahu beradu kekuatan dengannya, sang singa mengaum keras, menunjukan rasa tidak takut, apatah lagi cemas.

Akan tetapi alangkah terkejutnya sang singa tatkala melihat bayangan ‘singa’ itu juga membuka mulut dan menampakan taringnya yang memancarkan cahaya. Tajam.

Sang singa merasa tercabar. Lalu, tanpa berfikir panjang, ia segera terjun ke sungai untuk menyerang bayangan ‘singa’ tersebut.

Jbbuur!!

Sang singa basah kuyup disimbahi air sungai, sementara bayangan yang menentangnya menghilang entah kemana. Sang singa yang basah lenjun, merasa kedinginan bercampur kebingungan memikirkan ke mana perginya singa ‘penentang' itu tadi.


MENGENAL DIRI
“Akhirnya, selamatlah sang kancil dari dimakan oleh singa, sang raja rimba…the end,” saya menyudahkan cerita.

Kak long dan kak ngah tersenyum ceria.

“Agak-agaknya, kenapa singa tu tak tahu yang bayang-bayang dalam sungai tu adalah dirinya sendiri?” Saya bertanya.

Tujuan saya sekadar ingin melanjutkan sesi bercerita dengan mencungkil kefahaman anak-anak tentang pengajaran yang mampu mereka cerna.

Kefahaman amat perlu dititikberatkan agar cerita-cerita dongeng dan khayalan seumpama sang kancil dan singa itu tadi dapat memberi manfaat, terutama sebagai mengisi nilai pendidikan kepada anak-anak.

“Hmmm…singa tu tak pernah guna cerminlah tu agaknya, Ummi..” Sambil tersengih, kak ngah meneka. Saja-saja.

Saya dan kak long tertawa mendengarnya.

“Betul tu. Singa tak pernah cermin diri sendiri, sebab tu bayang-bayang sendiri pun dia tak tahu,” saya menambah senda.

“Dan juga sebab singa tak pernah kenal dirinya, dia tak tahu kekuatan yang ada padanya, tidak pernah tahu di mana kelemahannya, dan kerana itu, singa dengan mudah diperdaya oleh sang kancil. Akhirnya, perut singa yang lapar terus lapar, dan kesejukan pula.”

“Sebab tulah, penting untuk kita mengenal diri, salah satu caranya ialah dengan ‘bercermin’, tahu kekuatan dan kelemahan diri sendiri,” saya menerangkan sejelas yang mungkin.


ORANG YANG SOMBONG
Saya menginsafi, kisah sang kancil dan singa di atas, bukan sahaja baik untuk diambil pengajaran oleh anak-anak seusia kak long dan kak ngah, tetapi ia juga baik untuk diteladani oleh kelompok dewasa seperti saya.

Betapa orang dewasa yang sewajarnya sudah ‘cukup’ berakal untuk mendepani hidup juga mudah dan ramai terpedaya dek tidak mengenal diri sebaiknya.

Salah satu darinya ialah orang yang terpedaya dengan kesombongan dirinya sendiri, sebagaimana kesombongan sang raja rimba yang akhirnya memakan diri.

Seandainya setiap insan itu mengetahui dari apa ia diciptakan, untuk apa ia diciptakan dan matlamat sebenar atas penciptaannya, juga sekiranya dia menyedari betapa manusia adalah makhluk yang lemah dan sangat memerlukan kerjasama orang lain dalam memperolehi sesuatu di dunia ini, maka sudah pasti dia akan membuang jauh-jauh kesombongannya itu, diganti dengan kerendahan hati yang sangat disukai ILAHI.

“Cuba kak long, kak ngah fikir, untuk dapat makan sebutir nasi pun, kita memerlukan kepada beberapa kumpulan orang. Jika tidak kita tak dapat makan nasi,” saya menambah.

“Siapa orang tu, Ummi?” kak long bertanya.

“Pertama, petani yang tanam padi. Kedua, pengilang yang mengilang padi hingga menjadi beras. Ketiga, penjual beras di kedai. Keempat, ayah yang selalu beli beras untuk kita di rumah, akhir sekali tentulah ummi, tukang masak nasi,” jelas saya sambil mengangkat kening.

Menyeringai ketawa kak long dan kak ngah.

“Sebab tu, orang yang kenal diri, dia humble…tak sombong. Sebab orang yang sombong macam singa tadi, dia akan cepat marah, mudah terasa, senang sakit hati dan sebagainya. Akhirnya, sikap begini akan merugikan diri sendiri, macam singa tadi kena tipu dengan sang kancil,” saya menghabiskan kata-kata.


ANAKKU, CERMIN-CERMIN DIRIMU
Saya bersyukur atas peluang masa yang diizinkan oleh-NYA untuk saya berbagi cerita bersama anakanda tercinta.

Hati ibu mana yang tidak resah dengan suasana semasa hari ini. Kejahatan berleluasa, maksiat bagai perkara biasa.

Setidak-tidaknya ini antara usaha awal saya dalam menerap nilai-nilai mulia dan membangunkan jatidiri anak-anak sebelum mereka menginjak dewasa, agar menjadi di antara umat-NYA yang terpilih, yang menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari melakukan kemungkaran.

InsyaALLAH!

Akhirnya, untuk anak-anakku,

Masih terbayang saat getir perjuangan melahirkanmu, masih terasa sakit yang ditanggung demi membawamu melihat dunia nyata. Masih terkenang senyum, tangis dan tawa manjamu sewaktu kecil.

Kini, kau memanjat tangga usia.


Ingatlah, kenali dirimu dengan selalu melihat ‘cermin’. Cermin pertama ada pada hatimu, sementara cermin kedua wujud di sekelilingmu.

Sentiasalah berkaca pada hatimu. Persoalkan, dari mana asal usulmu, di mana kini dirimu berada dan ke mana dirimu akan kembali kelak. Dengan izin dan petunjuk-NYA, kau akan memahami anakku, bahawa manusia ini adalah mahluk ALLAH yang diciptakan hanya untuk mengabdikan diri kepada-NYA.

Teruslah bercermin pada sekitarmu. Pada keluarga, pada teman-teman dan pada sesiapa saja. Sikap yang mereka tunjukkan kepadamu adalah ‘refleksi’ sikapmu terhadap mereka. Justeru, andai kau ingin mereka menghormatimu, dahulukan penghormatanmu buat mereka. Andai kau mahu mereka menyayangimu, dahulukan kasih sayangmu terhadap mereka.

Berlandas panduan-NYA, yakinlah anakku, dirimu akan selamat dari kerugian di dunia, juga kerugian di akhirat sana, ameen.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


Pagi tadi aku berjumpa dengan sekretari sekolah untuk membayar 'apple money' dan 'milk money' untuk minggu ini. Selalunya aku akan terus membayar untuk satu semester jadi senang sikit tak payah nak ingat tiap minggu nak kena bayar. Tapi kali ini aku memohon untuk membayar untuk tempoh minggu ke minggu. Mrs Chunara bertanya kenapa? Aku beritahu yang anak-anakku tidak akan ke sekolah dalam bulan March nanti dan tidak tahu sampai bila dalam bulan Februari kami akan berada di sini. Mrs Chunara kata 'Oh .. Are you going for a holiday? Have you filled in the holiday form?' Aku cakap .. 'No no .. I am going back to Malaysia'. Berubah air muka Mrs Chunara tu. 'I see. Are you taking the kids with you?' tanya Mrs Chunara lagi. 'Of course. We are going back for good.' jawabku. 'Oh .. it wont be nice loosing you..' tambah Mrs Chunara lagi. Ha ha .. dalam hati aku ketawa. Apa hal laa mak cik ni nak sedih aku tak de .. bukannya aku ni rapat pun dengan dia .. hmm. Dalam perjalanan balik ke rumah aku berfikir-fikir .. hmm ... sedih juga sebenarnya nak tinggalkan United Kingdom ni. Sebabnya macam-macam perkara menarik ada di sini. Pelbagai kemudahan ada di sini. Lifestyle kat sini pun tenang. Sudah tentu kami akan merindui permandangan yang indah pada setiap musim. Tapi apa pun .. aku tak sabar nak balik ke Malaysia. United Kingdom will be missed, but Malaysia tetap menjadi pujaan hatiku.









Pokok-pokok di selaputi kristal air batu.. permandangan yang jarang-jarang dapat di lihat .. Alhamdulillah syukur ke hadrat ALlah kerana kami dapat menikmati permandangan yang sangat cantik ini.


Melbourne Road .. jalan besar yang perlu di lintas setiap hari untuk ke sekolah




Double rainbow .. magnificent sight to see.. MasyaAllah .. cantik sangat!


Permandangan dari atas bukit dalam musim panas. Cantik sungguh bumi Allah ini.



Musim luruh yang sangat cantik .. autumm in my heart!