RSS

Ayat Qursi

FADILAT AYAT AL-KURSI UNTUK MENGATASI SIHIR
(Petikan: Buku tulisan oleh Dr. Amran Kasimin dan Prof Dato Haron Din)


Sihir melibatkan jin - jin yang terdiri daripada iblis dan syaitan. Tanpa penglibatan makhluk ini, manusia tidak berupaya melakukan sihir. Amalan ini adalah tidak berpenghujung, dan akan terus berlaku selagi makhluk yang terlibat dengan amalan ini wujud.

Sifat ikhlas dapat mengelakkan seseorang dari diperdaya oleh syaitan. Ikhlas merupakan kemuncak segala sifat terpuji, yang tidak wujud dalam diri seseorang itu kecuali dengan adanya ilmu, dan amalan, merangkumi amalan wajib dan sunat yang dilakukan terus menerus semata - mata kerana Allah swt. Apabila sifat ikhlas ini berlaku, Allah swt akan mengasihi hamba berkenaan dan akan beri kekuatan kepadanya. Allah akan memperkenankan doanya untuk di beri perlindungan termasuklah perlindungan dari syaitan dan iblis.

Ayat al-Kursi adalah penghulu ayat - ayat Al Quran dan telah diturunkan pada waktu malam. Apabila turun ayat ini, Rasullullah S.A.W memanggil Zaid Bin Thabit menulisnya. Serentak dengan itu setiap berhala yang ada di dalam dunia ini bergoncang, juga setiap raja. Makhkota - makhkota jatuh dari kepala mereka. Syaitan lari bertempiaran dan menyelidik punca berlaku demikian. Akhirnya mereka tiba di Madinah
dan mendapati ayat al-Kursi telah turun.


Fadhilat Ayat Al-Kursi Untuk Kesejahteraan Diri

Kesejahteraan diri merangkumi keselamatan diri daripada kecelakaan akibat penglihatan makhluk - makhluk halus yang terdiri daripada iblis dan syaitan ataupun daripada kejahatan manusia, juga kejahatan manusia yang melibatkan iblis dan syaitan, iaitu sihir:

1. Orang yang membaca ayat al-Kursi selepas menyempurnakan solat fardhu akan dipelihara oleh Allah sehingga solat berikutnya.

2. Allah swt akan menghantar dua malaikat untuk memelihara orang yang membaca ayat al-Kursi ketika berada di tempat pembaringan hingga waktu subuh.

Ketika tidur manusia tidak menyedari kedatangan makhluk yang menyerang, biarpun makhluk itu kecil seperti semut yang mungkin masuk dalam lubang hidung. Tidak berupaya manusia juga mengelak diri dari syaitan & iblis. Amalan sihir dilakukan pada waktu malam. Keupayaan untuk bertindak segera apabila sesuatu yang buruk berlaku tidak dimiliki oleh orang yang sedang tidur. Atas lojik inilah maka orang yang hendak tidur itu perlu membaca doa - doa perlindungan diri.

3. Orang yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardhu akan memelihara keluarga, juga rumah - rumah yanag berhampiran dengannya. Boleh juga dimaksudkan terpelihara dpd binatang yang mudharat, bencana alam, kebakaran dan jahat angkara manusia. Maka, Rasulullah S.A.W. menyuruh setiap orang agar melakukan sesuatu perbuatan dengan menyebut nama Allah oleh kerana iblis dan syaitan tidak berupaya mengangkat atau membuka sesuatu yang ditutup dengan menyebut nama Allah.

4. Allah tidak menegah mereka yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardhu masuk dlm syurga.

5. Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan membaca ayat al-Kursi, maka Allah utuskan tujuh puluh ribu malaikat kepadanya, mereka memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6. Barang siapa membacanya nescaya Allah mengutuskan malaikat untuk menulis kebaikannya dan menghapuskan keburukannya dari detik itu sampai esok hari.


7. Barang siapa yang membacanya ketika dalam kesempitan atau kesusahan, Allah akan menolongnya.

Sebagai ulasannya, kita umat Islam hendaklah mengamalkan ayat al-Kursi setiap masa oleh kerana ia mempunyai berbagai - bagai faedah. Alangkah ruginya manusia jika tidak mengambil peluang yang Allah berikan kepada kita yang telah diberitahu olehNya. Semoga berjaya melawan syaitan dan iblis yang sentiasa menghalang kita dari beramal.

0 comments: